💁🏼LATIHAN PEMENGGALAN AYAT

LATIHAN PEMENGGALAN AYAT

Sambung ayat-ayat pendek dalam petikan di bawah ini supaya menjadi tiga ayat saja tanpa mengubah susunan dan makna asal ayat-ayat tersebut.

Latihan 1:

Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita. Binatang-binatang liar tersebut menjadi penghuni hutan sejak beberapa lama dulu. Kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan. Kepupusan ini berpunca daripada kegiatan manusia. Manusia berburu sesuka hati mereka. Kepupusan berpunca daripada kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran. Penyelidikan terhadap hidupan liar juga boleh dilakukan.

JAWAPAN

Beberapa jenis binatang liar menghuni hutan belantara negara kita sudah menjadi penghuni hutan sejak beberapa lama dulu tetapi kini binatang liar tersebut menghadapi kepupusan yang berpunca daripada kegiatan manusia. Manusia berburu sesuka hati mereka dan kepupusan juga berpunca daripada kegiatan pembangunan. Antara langkah untuk membendung kepupusan hidupan liar adalah dengan mengadakan kempen kesedaran dan penyelidikan terhadap hidupan liar juga boleh dilakukan.

Latihan 2:

Televisyen merupakan salah satu media sebaran am. Televisyen direka untuk memberikan manfaat kepada manusia. Manfaat tersebut adalah dalam pelbagai aspek. Malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan. Hasil penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut. Mereka menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan.

JAWAPAN

Televisyen merupakan salah satu media sebaran am yang direka untuk memberikan manfaat kepada manusia dan manfaat tersebut adalah dalam pelbagai aspek tetapi malangnya, akhir-akhir ini kemunculan televisyen dikatakan membawa pelbagai masalah pula. Pelbagai penyelidikan terhadap kesan televisyen kepada masyarakat telah dilakukan dan hasil penyelidikan tersebut menunjukkan bahawa adegan-adegan ganas dalam siaran televisyen dapat mempengaruhi masyarakat. Malangnya, para penerbit filem masih membisu terhadap hasil penyelidikan tersebut dan mereka menegaskan bahawa para penonton terhibur oleh adegan-adegan yang dipaparkan.

Latihan 3:

Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen. Rancangan-rancangan tersebut disiarkan oleh RTM. Rancangan-rancangan tersebut terdapat di TV3 juga. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat. Hal ini membimbangkan ibu bapa. Mereka bimbang kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik. Mereka tidak bijak menilai sesuatu yang buruk juga.

JAWAPAN

Unsur-unsur keganasan terdapat dalam rancangan-rancangan di televisyen dimana rancangan-rancangan tersebut disiarkan oleh RTM dan di TV3 juga. Sejak akhir-akhir ini penyiaran rancangan yang bercorak keganasan itu meningkat dan hal ini membimbangkan ibu bapa kerana mereka bimbang kalau-kalau unsur-unsur tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan golongan remaja. Golongan-golongan ini belum bijak menilai sesuatu yang baik dan mereka tidak bijak menilai sesuatu yang buruk juga.

Latihan 4:

Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer. Pendidikan ini adalah untuk para pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa. Hal ini kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan. Kekosongan tersebut ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari komputer. Langkah ini diharapkan dapat menarik minat pelajar mendalami bidang komputer juga.

JAWAPAN

Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pendidikan asas komputer untuk para pelajar di negara ini. Langkah Kementerian Pendidikan ini dialu-alukan oleh ibu bapa kerana langkah ini dapat membantu mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan dimana kekosongan tersebut ketara sekali di sekolah luar bandar. Banyak pihak yang berharap agar langkah kerajaan ini memberikan peluang kepada pelajar luar bandar mempelajari computer dan langkah ini diharapkan dapat menarik minat pelajar mendalami bidang komputer juga.

Latihan 5:

Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku. Buku ini tergolong dalam jenis novel kanak-kanak. Buku ini dikarang oleh Darulsalam. Buku ini terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya. Mereka bercuti ke Pulau Sayak. Mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari. Nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.

JAWAPAN

Bercuti ke Pulau Sayak ialah judul sebuah buku dan buku ini tergolong dalam jenis novel kanak-kanak. Buku ini dikarang oleh Darulsalam dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Bercuti ke Pulau Sayak menceritakan kisah seorang budak lelaki bernama Syahid bersama-sama dengan rakannya bercuti ke Pulau Sayak namun mereka terlibat dengan satu kumpulan penyeludup tanpa disedari tetapi nasib mereka baik kerana akhirnya mereka berjaya menewaskan kumpulan itu.

Latihan 6:

Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat. Kepesatan ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu. Kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini. Kedatangan mereka adalah untuk mencari rezeki. Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan. Keistimewaan-keistimewaan itu dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.

JAWAPAN

Pembangunan yang dicapai oleh Malaysia begitu pesat dimana kepesatan ini berlaku sejak beberapa tahun yang lalu dan kestabilan ekonomi Malaysia pula berterusan. Faktor-faktor ini mendorong rakyat asing datang ke sini untuk mencari rezeki Dengan memiliki taraf kerakyatan, mereka dapat menikmati pelbagai keistimewaan yang disediakan namun keistimewaan-keistimewaan itu dipandang ringan oleh segolongan rakyat asing.

Latihan 7:

Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius. Keadaan ini mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia. Manusia memperlakukan bumi sewenang-wenangnya. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil. Fenomena-fenomena tersebut termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon.

JAWAPAN

Pencemaran alam berlaku pada tahap yang serius dan keadaan ini mencemaskan manusia di seluruh dunia. Pencemaran tersebut berpunca daripada sifat haloba manusia dimana manusia memperlakukan bumi sewenang-wenangnya yang bertujuan  untuk mengaut keuntungan. Pencemaran alam ini mengakibatkan berlakunya pelbagai fenomena ganjil antaranya termasuklah peningkatan suhu dan penipisan lapisan ozon. 

Comments

Popular Posts